DEPRESI DAN TERAPI DIRI

Masalah depresi semain meningkat dalam diam ramai yang menghadapinya.

KEHIDUPAN ini telah ALLAH susun atur dengan begitu cantik, ada ujian kenikmatan dan ujian kesusahan. Setiap orang diuji bersesuaian dengan kemampuan masing-masing dan janganlah kita bersikap lemah kerana ALLAH berjanji,

“ALLAH tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…” (QS al-Baqarah: Ayat 286)

 

Pembunuh Senyap

Bila menyebut mengenai isu depresi ini, masih ramai lagi yang bertindak menyembunyikan diri daripada mendapatkan rawatan. Depresi, luarannya nampak normal tetapi ia mampu menjadi ‘pembunuh’ senyap dalam jiwa seseorang.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menjangkakan pada tahun 2020 penyakit depresi berada di tangga kedua tertinggi penyakit global.

 

Tanda- tanda depresi

Tanda-tanda orang yang mengalami depresi dapat dipecahkan kepada beberapa perkara. Contohnya ketidakstabilan emosi, berada dalam ketakutan termasuk suka menyalahkan diri sendiri dan rendah keyakinan diri.

Aktiviti seharian turut terkesan kerana sukar untuk fokus, berlaku perubahan selera makan dan jadual tidur. Depresi menjadikan seseorang itu hilang kenikmatan dan keseronokan untuk teruskan hidup.

Depresi yang teruk boleh membawa kepada halusinasi dan perlu dirawat segera. Penting untuk sentiasa berfikiran positif dan menggunakan teknik berdoa sambil bicara dalam hati dengan menyeru nama-nama ALLAH sepertimana firman-Nya:

“Dan ALLAH mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya…” (QS. Al-A’raf 7: Ayat 180)

Segalanya dari ALLAH

Perlu diingatkan bahawa, segala yang dimiliki manusia adalah milik ALLAH termasuklah daya yang dipinjamkan oleh-Nya. Bermohonlah supaya dikurniakan daya ketenangan kepada kita: “Ya ALLAH Ya Salam Yang Maha Menenangkan, tenangkan hambaMu yang ada masalah ini, daku tidak mampu menyelesaikannya, hanya Engkau yang mampu bukakan jalan penyelesaian baginya. Bimbinglah hambaMu Ya ALLAH Ya Haadi kerana hanya Engkau yang mampu membimbingku.

8. Kelemahan individu depresi terletak pada emosinya. Emosi mereka rapuh dan tidak stabil. Jangan perkecilkan mereka dan menganggap mereka seorang yang lemah dan manja. Sebaliknya, pimpin emosi mereka dengan pujukan dan belaian. “Ya ALLAH Ya Aziz Ya Qowiy Ya Matin, perkasakan, perkuatkan dan perteguhkan jiwanya untuk menghadapi ujianmu ini dan bakarkanlah semangatnya untuk meneruskan kehidupan”.

Keyakinan diri terletak pada rasa kepercayaan terhadap diri sendiri. Bina semula keyakinan dengan fokuskan diri pada fikiran yang positif. Berfikir yang positif akan memberikan rasa membangun dan membuatkan hati tenang.

FIKIRKAN YANG POSITIF

Mendorong fikiran positif dengan bermohon: “Ya ALLAH, Ya Quddus Ya Jalil sesungguhnya Engkau yang Maha menyucikan lagi Maha Menjernihkan, sucikan dan jernihkan hatiku daripada berburuk sangka atas apa yang terjadi kerana segalanya adalah daripadaMu dan pastinya suatu hikmah. Jadikan kami kembali kepada fitrahnya seorang yang baik, dan melalui ujianMu dengan reda.

ALLAH berfirman dalam Surah at-Tin ayat 4: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.

 

YAKIN

Yakinlah, ALLAH menciptakan manusia itu seimbang, ada kelemahan dan kekuatan. Kelemahan hanyalah kekuatan yang belum ditemukan kegunaannya. Keluarkan mutiara-mutiara yang terpendam dalam diri. Beranikan diri ambil langkah ke hadapan untuk bangunkan potensi diri yang terbaik.

Berdampinglah dengan orang berilmu. Individu yang depresi harus ada teman di sisi mereka. Teman terbaik adalah orang yang beramal dengan ilmu ALLAH. Berdampinglah dengan orang yang berilmu kerana ilmu membawa diri kepada kebenaran.

Pesan Luqman al-Hakim,

“Bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan”.

 

IANYA BOLEH DIRAWAT

Kesimpulannya depresi bukanlah satu masalah yang berpanjangan. Masalah depresi boleh dirawat dengan mendekatkan diri kepada ALLAH. “Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya ALLAH berserta orang-orang yang sabar” (QS. al-Baqarah: 153)

Kita berdoa semoga kita sentiasa di bawah perlindungan ALLAH Ya Hafiz Ya Muhaimin yang Maha Melindungi dan Maha Memelihara.

“Allahumma Ya Salam, Engkaulah yang Maha Sejahtera. Kurniakan kami kesejahteraan jiwa, fizikal dan jasad supaya kami berpeluang untuk berbakti kepada ummah bagi menyebarkan kebaikan”

Wallahualam.

#Silakanshare untuk sama- sama berkongsi manfaat.

Curahan ilmu dari Ya Alim

DR AZURA HASHIM
Artikel ini telah disiaran disini https://www.karangkraf.com/…/menghadapi-depresi-dan-terapi-…

#DrAzuraHashim
#Travelogjiwahamba