Untuk PEMUDA & PEMUDI Nabi S.A.W berpesan:
“Kalau sekiranya kalian sudah cukup kemampuan di dalam hidup, maka berumahtanggalah. Kerana dengannya akan menundukkan pandangan kamu, terjaga kemaluanmu. Dan sekiranya kamu tidak mampu untuk berumahtangga disunatkan dan dituntut agar kamu berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu menjadi pelindung kepada hidupmu.”
HIKMAH-HIKMAH PERKAHWINAN
#1-Hikmah kepada hubungan dengan masyarakat
Melalui perkahwinan, terjaga kemaslahatan di kalangan masyarakat dan terbina dengan cara yang terbaik.
Tanpa keluarga dan anak-anak, mereka akan terdorong untuk melakukan perkara lain bagi mengisi kekosongan hidup seperti memelihara haiwan dan sebagainya, tetapi mempunyai masa yang terbatas untuk bermasyarakat.
#2-Hikmah dengan kelahiran zuriat keturunan
Allah menjadikan manusia mempunyai pasangan masing-masing dan akan lahirlah anak-anak, cucu, cicit dan keturunan hasil daripada pekahwinan tersebut. Sesunguhnya dengan berumahtangga akan memudahkan manusia untuk menuju kepada syurga Allah dan dapat memelihara keturunan yang berterusan.
Perkahwinan akan melahirkan zuriat-zuriat soleh dan solehah, maka Rasulullah sangat berbangga dan Bagindalah yang paling gembira kerana memiliki umat yang ramai pada Hari Akhirat kelak.
Mereka yang berkeluarga akan beroleh doa daripada anak-anak yang soleh terutamanya apabila kembali menghadap Allah. Tetapi sebaliknya harta benda dan kemewahan di dunia tidak akan menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.
#3-Hikmah dalam mengatasi masalah sosial
Dengan perkahwinan jugalah ia dapat mengatasi masalah sosial di dalam masyarakat seperti penularan penyakit AIDS, penyakit kelamin dan lain-lain akibat perbuatan zina dan jenayah yang merosakkan manusia.
#4-Hikmah pada ketenteraman hati dan jiwa individu
Melalui perkahwinan jugalah dapat mendatangkan ketenteraman hati dan jiwa manusia. Di antara kebesaran Allah S.W.T ialah menciptakan isteri kepada golongan pemuda tanpa diduga oleh mereka sendiri kerana sudah tertulis dan ditakdirkan siapakah pasangan mereka.
Diciptakan Allah perasaan kasih sayang dan belas kasihan terhadap pasangan hidup masing-masing kecuali perasaan benci yang dihasut oleh syaitan untuk memecah-belahkan manusia.
Firman Allah S.W.T.:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah ar-Rum: 21)
#5-Hikmah dalam kurniaan rezeki
Allah akan menambah rezeki kepada mereka yang berumahtangga berbanding mereka yang hidup berseorangan kerana setiap daripada ahli keluarga dikurniakan rezeki masing-masing.
Allah S.W.T akan menolong setiap orang yang menikah kerana ingin menjaga kesucian dirinya.
Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Ada tiga orang yang akan mendapatkan pertolongan Allah: (1) orang yang berjihad di jalan Allah, (2) orang yang menikah demi menjaga kesucian dirinya, (3) budak makatab yang ingin membebaskan dirinya.”
(HR. An-Nasa’i, Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Alhamdulillah antara hikmah-hikmah dalam perkahwinan dari perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di Ikim.fm.
Akhirnya, secara jelas hubungan antara lelaki dan perempuan dapat terpelihara dalam satu ikatan yang dipanggil suami dan isteri. Hindarilah masalah sosial yang membawa kemungkaran Allah dan rebutlah peluang mengumpul pahala akhirat kerana perkahwinan juga satu ibadah.
Semoga bermanfaat.
Wallahu’alam. Biidznillah Ya Baari’
Admin.
Sebarkan kebahagian…
Allah Ya Baari’ yang Maha Mengaturkan segala agenda yang berlaku dalam hidup kita. Alhamdulillah, buku LOVE dalam fasa terakhir untuk dikeluarkan dan bakal bertemu dengan anda.


