Kisah cinta ini bukan kisah cinta monyet.

Kisah cinta ini begitu eksklusif sehingga terlakar dalam lipatan sejarah.

Kisah cinta ini sangat sesuai diceritakan kembali kepada pemuda dan pemudi yang sekarang ini banyak terkeliru dalam membezakan antara cinta dan nafsu.

Bercinta bukan satu kesalahan. Tetapi yang nampak seperti sebuah kesalahan adalah apabila cinta itu banyak dibuai dengan hawa nafsu dan menjadikan manusia itu lalai, mendekati maksiat.

Sesungguhnya, tiada kuasa yang cukup hebat boleh memperkatakan ideologi tentang cinta kerana pada akhirnya kekuasaan Allah jua yang menentukan soal jodoh dan pasangan kita.

Allahumma Ya Wadud, yang Maha Pencinta,
Sungguh ujian yang sedang daku lalui ini adalah tanda kasih dariMu agar daku sentiasa mencari cintaMu yang kekal abadi. Alirkan rasa cinta antara kami agar saling mencintai keranaMu untuk menuju cintaMu yang sempurna dan hakiki.

 

KISAH CINTA YANG EKSKLUSIF, TERPELIHARA & TERPUJI

#1- Ali bin Abi Thalib & Fatimah Az-Zahra

Ali terpesona pada Fatimah sejak lama, disebabkan oleh sifat santunnya, ibadah, kecekapan ibadah dan paras rupa puteri kesayangan Rasulullah S.A.W.

Diceritakan Fatimah pernah di lamar dua kali oleh Abu Bakar dan Umar ibn Khattab sementara Ali ketika itu belum bersedia untuk melakukannya. Namun kesabarannya berbuah manis, lamaran kedua orang sahabat yang tak diragukan lagi kesolehannya tersebut ternyata ditolak Rasulullah S.A.W. Akhirnya Ali memberanikan diri. Dan ternyata lamarannya kepada Fatimah yang hanya bermodal baju besi diterima.

Di sisi lain, Fatimah ternyata telah memendam cintanya kepada Ali sejak lama.

Cinta Ali dan Fatimah luar biasa indah, terjaga kerahsiaannya dalam perilaku dan tutur kata hingga akhirnya Allah menyatukan mereka dalam suatu pernikahan.

Dalam suatu riwayat dikisahkan bahawa suatu hari setelah kedua menikah, Fatimah berkata kepada Ali:

“Maafkan aku, kerana sebelum menikah denganmu, aku pernah satu kali merasakan jatuh cinta pada seorang pemuda dan aku ingin menikah dengannya.”

Ali pun bertanya mengapa ia tetap mahu menikah dengannya, dan apakah Fatimah menyesal menikah dengannya. Sambil tersenyum Fatimah menjawab, “Pemuda itu adalah dirimu.”

 

#2-Umar bin Abdul Aziz

Umar bin Abdul Aziz, khalifah termasyhur dalam Bani Umayyah, telah jatuh cinta pada seorang gadis, namun isterinya Fatimah binti Abdul Malik tidak pernah mengizinkannya menikah lagi. Suatu ketika dikisahkan bahawa Umar mengalami sakit akibat kelelahan dalam mengatur urusan pemerintahan.

Fatimah pun datang membawa kejutan untuk menghibur suaminya. Ia menghadiahkan gadis yang telah lama dicintai Umar, begitu pun si gadis mencintai Umar.

Namun Umar berkata: ” Tidak! Ini tidak boleh terjadi. Saya benar-benar tidak merubah diri saya kalau saya kembali kepada dunia perasaan semacam itu.”

Umar memenangkan cinta yang lain, kerana memang ada cinta di atas cinta.

Akhirnya ia menikahkan gadis itu dengan pemuda lain. Tidak ada cinta yang mati di sini. Kerana sebelum meninggalkan rumah Umar, gadis itu bertanya, “Umar, dulu kamu pernah mencintaiku. Tapi kemanakah cinta itu sekarang?” Umar bergetar haru, tapi dia kemudian menjawab, “Cinta itu masih tetap ada, bahkan kini rasanya lebih dalam!”

 

#3- Abdurrahman ibn Abu Bakar

Abdurrahman bin Abu Bakar as-Siddiq dan isterinya, Atika amat saling mencintai satu sama lain sehingga Abu Bakar merasa khuatir dan pada akhirnya meminta Abdurrahman menceraikan isterinya kerana takut cinta mereka berdua melalaikan dari jihad dan ibadah. Abdurrahman pun menuruti perintah ayahnya, meski cintanya pada sang isteri begitu besar.

Namun, tentu saja Abdurrahman tak pernah melupakan isterinya. Berhari-hari dia larut dalam duka meski ia telah berusaha sebaik mungkin untuk tegar.

Perasaan Abdurrahman itu pun melahirkan syair cinta indah sepanjang masa:
Demi Allah, tidaklah aku melupakanmu
Walau mentari tak terbit meninggi
Dan tidaklah terurai air mata merpati itu
Kecuali berbagi hati
Tak pernah kudapati orang sepertiku
Menceraikan orang seperti dia
Dan tidaklah orang seperti dia dithalaq kerana dosanya
Dia berakhlaq mulia, beragama, dan bernabikan Muhammad
Berbudi pekerti tinggi, bersifat pemalu dan halus tutur katanya.

Akhirnya hati sang ayah luluh. Mereka diizinkan untuk rujuk kembali. Abdurrahman pun membuktikan bahawa cintanya suci dan takkan mengorbankan ibadah dan jihadnya di jalan Allah. Terbukti dia syahid tak berapa lama kemudian.

 

#4-Ummu Sulaim dan Abu Talhah

Ummu Sulaim merupakan janda dari Malik bin Nadhir. Abu Talhah yang memendam rasa cinta dan kagum akhirnya memutuskan untuk menikahi Ummu Sulaim tanpa banyak pertimbangan.

Namun di luar dugaan, jawapan Ummu Sulaim membuat lidahnya menjadi kelu dan rasa kecewanya begitu menyesakkan dada, meski Ummu Sulaim berkata dengan sopan dan rasa hormat,

“Sesungguhnya saya tidak pantas menolak orang yang seperti engkau, wahai Abu Talhah. Hanya sayang engkau seorang kafir dan saya seorang muslimah. Maka tidak pantas bagiku menikah dengan mu. Cuba kamu teka apa keinginan saya?”

“Engkau menginginkan dinar dan kenikmatan,” kata Abu Talhah.

“Sedikitpun saya tidak menginginkan dinar dan kenikmatan. Yang saya inginkan hanya engkau segera memeluk agama Islam,” tegas Ummu Sulaim.

“Tetapi saya tidak mengerti siapa yang akan menjadi pembimbingku?” tanya Abu Talhah.

“Tentu saja pembimbingmu adalah Rasulullah sendiri,” tegas Ummu Sulaim.

Maka Abu Talhah pun bergegas pergi menjumpai Rasulullah S.A.W yang mana saat itu tengah duduk bersama para sahabatnya. Melihat kedatangan Abu Talhah, Rasulullah S.A.W berseru, ” Abu Talhah telah datang kepada kalian, dan cahaya Islam kelihatan pada kedua-dua bola matanya.”

Ketulusan hati Ummu Sulaim benar-benar mengharukan relung-relung hati Abu Talhah. Ummu Sulaim hanya akan mahu dinikahi dengan keislamannya tanpa sedikitpun terlalai oleh kenikmatan yang dijanjikan kepadanya. Wanita mana lagi yang lebih pantas menjadi isteri dan ibu asuh anak-anaknya selain Ummu Sulaim?

Di hadapan Rasulullah S.A.W lisan Abu Talhah basah mengulang-ulang kalimah, “Saya mengikuti ajaran anda, wahai Rasulullah. Saya bersaksi, bahawa tidak ada yang berhak disembah kecuali Allah dan saya bersaksi bahawa Muhammad adalah utusanNya.”

Bernikahlah Ummu Sulaim dengan Abu Talhah, sedangkan maharnya adalah keislaman suaminya. Hingga Tsabit (seorang perawi hadits) meriwayatkan dari Anas,

“Sama sekali aku belum pernah mendengar seorang wanita yang maharnya lebih mulia dari Ummu Sulaim, iaitu keislaman suaminya.”

Selepas itu, mereka menjalani kehidupan rumah tanggan yang damai dan sejahtera dalam naungan cahaya Islam.

 

Sebagai manusia biasa, tidak akan terlepas dari bisikan syaitan lalu menyebabkan kita tunduk kepada hawa nafsu. Menjadi lemah itu satu ujian. Justeru, kita harus membina kekuatan hati kembali supaya rasa cinta pada manusia tidak berlebih-lebihan.

Allahumma Ya Qohhar, tundukan nafsuku yang berlebihan agar tunduk patuh kepadaMu. Ampunkan dosa-dosaku Ya Ghaffar, bersihkan hatiku dari cinta dunia yang melalaikan.
Allah Ya Waliy, lindungilah aku dari bisikan nafsu, dari godaan syaitan dan manusia. Tiada dayaku untuk menjaga diriku 24 jam, maka Engkaulah Ya Raqib Ya Qoreeb yang Maha Mengawasi dan sangat dekat denganku.
PadaMu aku berserah dan bergantung harap, awasilah diriku mengikut caraMu.

Wallahua’lam. Biidznillah Ya Baari’

Admin.

 

Sebarkan kebahagian…sebelum bawa kisah cinta anda lebih jauh lagi, jom kenal karakter pasangan anda dengan cara mudah.

Allahumma Ya Baari’ yang Maha Mengaturkan segala agenda yang berlaku dalam hidup kita. Alhamdulillah, buku LOVEdalam fasa terakhir untuk dikeluarkan dan bakal bertemu dengan anda April ini.
Dan tawaran untuk Pre-order buku LOVE kini dibuka !!
Berminat untuk dapatkan, klik: PRE-ORDER BUKU LOVE

Leave a Reply