PEMANAH YANG HEBAT telah bersiap sedia menghadapi rintangan angin yang datang tatkala anak panah mahu dilepaskan dari busurnya. Anak panah beroleh tenaga yang luar biasa daripada sang pemanah dan bergerak pantas kehadapan meredah dan menembusi angin yang datang.

Perjalanan yang sama juga akan dihadapi, ada ujian dan masalah yang tak terduga akan hadir dalam usaha untuk berjaya. Justeru, bila jatuh anda kena bangkit dan berdiri semula.

Memasuki penghujung bulan Jun 2019, bagaimana perjalanan anda menyusun strategi mencapai azam 2019 anda?

Letakkan kesungguhan dan jangan melengah-lengahkan masa lagi kerana masa tidak akan menunggu dan kita dalam kumpulan yang rugi membiarkan masa pergi begitu sahaja.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam benih itu dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa kamu menanam benih kurma tersebut.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Orang yang berjaya mereka ada strategi. Dalam strategi mereka membaiki kekurangan dan tingkatkan potensi, bina keazaman dan letak matlamat supaya ada tujuan yang mantap dan jelas.

3 STRATEGI KEBANGKITAN

1.AUDIT DIRI

Langkah pertama dalam strategi untuk bangkit adalah audit atau penilaian tujuannya untuk tahu kecenderungan dalam diri menjurus pada kekuatan atau kelemahan. Contohnya seperti di bawah:

(Sumber: Panduan dan Strategi Motivasi Diri oleh Sharifah Akmam Syed Zakaria)

Selepas audit, buat kira-kira sama ada keseluruhan jawapan berat ke arah positif atau yang negatif. Sekiranya jawapan lebih banyak yang negatif maka ini petanda untuk kita melakukan perubahan.

Mohon kekuatan pada Allah S.W.T untuk pimpin kita semasa dalam proses mahu berubah.

“Allahumma Ya Bashir, walaupun tiada siapa melihatku, Engkau sentiasa datang melihatku setiap saat, bukan hanya melihat, tetapi Engkau Ya Wahhab sentiasa menolongku. Hanya Engkau yang pada hakikatnya yang sebenarnya mengasihi dan menyayangiku selama ini”

2.KEMAHUAN UNTUK BERUBAH

Kesungguhan yang betul-betul sungguh dapat mengubah sesuatu yang sudah sebati dalam diri kita seperti sikap, tabiat dan kelakuan.

Dr. John C. Maxwell dalam bukunya Thinking for A Change menyatakan ada 6 langkah yang boleh mengubah hidup manusia:

  • Pertama: Ubah cara berfikir. Mengubah cara berfikir akan mengubah keyakinan kita
  • Kedua: Jika keyakinan berubah, harapan kita berubah
  • Ketiga: Jika harapan kita berubah sikap kita berubah
  • Keempat: Jika sikap kita berubah, kelakuan kita berubah
  • Kelima: Jika kelakuan kita berubah, gerak kerja kita berubah
  • Keenam: Jika gerak kerja kita berubah, hidup kita akan berubah

Berubah menjadi seorang yang proaktif iaitu bertindak sebelum diarahkan dan bukannya seorang yang reaktif iaitu melakukan sesuatu apabila disuruh atau terpaksa melakukannya.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

3.FOKUS

Langkah 1 & 2 adalah perkara asas dalam usaha kita untuk membangkitkan semangat. Kita dah tahu sebab untuk bangkit dan cara bagaimana mahu berubah, sekarang ini saya mahu mengajak anda semua fokus. Fokus pada tindakan dan langkah yang telah kita susun.

Rahsia Tulisan Tangan: Konsentrasi dan Fokus

Langkah ke-3 iaitu fokus. Saya ingin berkongsi bagaimana untuk mudah fokus dengan latihan menulis. Dalam analisis tulisan tangan, tahap konsentrasi seseorang boleh dibezakan melalui saiz tulisan.

Individu yang mudah untuk memberi fokus adalah dari saiz tulisan yang kecil.

Oleh itu, latihan untuk mendapatkan fokus yang terbaik boleh dilakukan dengan menulis dengan saiz tulisan yang kecil. Bila menulis, kita melatih minda kita untuk fokus pada satu-satu dan cuba untuk berikan hasil yang terbaik.

Selain mencapai fokus, anda melatih diri untuk bertahan dan bersabar dengan sesuatu bagi tempoh yang lama. Jika dalam bekerja anda dikategorikan sebagai individu yang teliti dan anda akan berfikir dahulu sebelum bertindak.

Mudahnya apabila kita fokus, kita mampu untuk ikut satu-persatu rancangan ke arah mencapai matlamat.

Tokoh ilmuan yang terkenal juga mempunyai saiz tulisan yang kecil. Beliau yang dimaksudkan ialah Albert Einstein. Menurut pakar analisis tulisan tangan, tulisan tangan Albert Einstein menunjukkan beliau seorang yang genius. Ini berdasarkan saiz tulisan, margin, bentuk huruf dan tanda tangan beliau.

“Wahai Allah Wahai Tuhan Yang Maha Mengatur agenda hidup manusia. Kami hambaMu yang dhaif ini menyerahkan jiwa dan raga kami kepadaMu untuk Engkau aturkan agendaMu agar kami dapat fokus kepada kerja-kerja kami mengikut kehendak dan ketentuanMu. Sesungguhnya agenda kami sering mengalami masalah dan tidak tepat”

Baru satu jenis tulisan yang dikongsikan dalam penulisan kali ini, jika berminat untuk tahu lebih mengenai tulisan tangan, Dr Azura Hashim ada menghasilkan buku mengenai rahsia tulisan tangan , iaitu LOVE Till Jannah dan Be Okay. Boleh klik link untuk lebih info.

Setiap hari kita bangun, kita bertemu hari yang baru. Kita belajar dari kisah semalam dan mengubah diri lebih positif. Seharusnya amalan, personaliti dan tutur kata kita lebih bagus dari hari ke hari.

Semoga Allah membekalkan kita dengan semangat dan kemampuan untuk berubah menjadi lebih baik.Insha Allah

Wallahu’alam. Biidznillah Ya Baari’.

Admin.

Leave a Reply