Islam itu ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang membawa maksud, Islam itu sebagai rahmat bagi sekalian alam.
Ungkapan ‘Rahmatan Lil Alamin’ bukan ungkapan yang direka-reka dari logik akal sesiapa. Ada disebut dengan jelas oleh Allah S.W.T. di dalam firmanNya:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(Surah Al-Anbiya’ :107)
Jom kita fahami dengan jelas erti ungkapan tersebut supaya kita tidak meletakkannya di tempat yang silap.
ISLAM SEBAGAI RAHMAT KEPADA SEKALIAN ALAM
Walaupun yang disebut oleh Allah S.W.T. dalam ayat 107 ditujukan kepada Rasulullah S.A.W., tetapi hakikatnya ‘rahmatan lil alamin’ itu berbalik kepada apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.
Ini diterangkan di dalam ayat sebelumnya, 106, apabila Allah S.W.T. membicarakan perihal Al-Quran.
“Sesungguhnya Al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang mengabdikan diri mereka.”
(Surah Al-Anbiya’ :106)
Bersama Rasulullah S.A.W itu, datangnya Al-Quran, datangnya sunnah nabawiyah, dalam erti kata lain, datang bersama Rasulullah S.A.W itu, Islam.
Selepas kewafatan Rasulullah S.A.W, apakah rahmat untuk sekalian alam akan terputus?
Semestinya tidak. Islam terus berkembang dan tersebar selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Maka rahmat yang tiba bersama Islam dan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. itu, tidak sesekali tamat.
APAKAH RAHMATNYA ISLAM YANG CUBA DIBERIKAN KEPADA SEKALIAN ALAM?
Jika kita mendalami Islam, kita akan melihat bahawa Islam itu disusun sesuai bukan sahaja dengan keperluan manusia, tetapi juga turun memberikan rahmat untuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan juga alam ini umumnya.
Islam Mengangkat Martabat Kaum Wanita
Tika mana arab jahiliyyah merendah-rendahkan kaum wanita, Islam datang memberi rahmat kepada kaum wanita. Lelaki disaran untuk berlemah lembut terhadap mereka, adil kepada mereka, mempertahankan mereka, bahkan Al-Quran menerangkan bahawasanya lelaki dan wanita itu perlu saling memperkasa.
Satu surah didekasikan khusus buat kaum wanita iaitu Surah An-Nisa’. Satu penghormatan yang tidak diperolehi oleh wanita sebelum kehadiran Islam.
Islam Merobohkan Kasta antara Fakir Miskin & Orang Berada
Di dalam Islam difardhukan ibadah zakat, dianjurkan bersedekah, supaya golongan kurang bernasib baik ini mendapat sokongan untuk sama-sama bangkit menjadi ahli masyarakat yang berperanan. Bukan ditinggalkan terkontang-kanting begitu sahaja.
Islam Mengangkat Martabat Anak-Anak Yatim
Islam mengangkat martabat anak-anak yatim, dan menggesa ummatnya berlaku adil dan baik kepada golongan tersebut.
Islam bahkan menjaga mereka yang belum lagi lahir, mengharamkan penzinaan untuk menjaga nasab keturunan dan memperkasa institusi kekeluargaan, agar anak-anak yang lahir mendapat kasih sayang daripada ibu bapa, sebagaimana fitrahnya.
Islam Menjaga Tumbuh-Tumbuhan & Haiwan Juga
Surah Al-Baqarah ayat 205, firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia) sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.”
Dalam penyembelihan binatang, Islam menetapkan tatacara yang jelas untuk tidak menyakiti dan manakut-nakutkan haiwan yang mahu disembelih. Pisau yang digunakan untuk sembelihan tidak boleh ditunjuk-tunjukkan pada haiwan yang mahu disembelih.
Islam mewajibkan sembelihan perlu disembelih pada leher kerana itu antara jalan tercepat untuk memutuskan nyawa dari badan, lantas mengurangkan waktu kesakitan haiwan tersebut.
Ini hanya beberapa contoh rahmat Islam kepada sekalian alam. Apabila kita mendalami Islam, kita akan lebih sedar bahawa rahmat Islam itu lebih dari sekadar perkara-perkara tersebut.
Islam adalah sebuah agama yang lengkap dan sempurna serta meliputi kehidupan dunia dan akhirat. Walaupun Islam berpusat kepada kehidupan insan, tetapi insan itu bersambung hidupnya dengan haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam ini.
Namun di dalam rahmatnya Islam itu, terselit ketegasan. Ketegasan yang membuatkan Islam itu tidak boleh dirobek-robek prinsipnya, dibuat main ajarannya. Muhasabah.
Semoga Bermanfaat.
Sumber: www.langitilahi.com
Sebarkan Kebahagiaan…
AKAN DATANG !!
LOVE TILL JANNAH
**Rahsia Memahami Pasangan Dengan Analisa Tulisan Tangan**

Jom Pre-Order Buku Ini Sekarang! Klik LOVE
Perlukan bantuan? Hubungi admin di 016-9237881

