Umum mengetahui wanita itu dekat dengan kelembutan dan kaya dengan kasih sayang. Tujuan diperkenalkan srikandi-srikandi wanita islam adalah untuk memperlihatkan sisi lain dalam diri wanita seperti yang terlakar dalam kisah-kisah perjuangan mereka.

Wanita pernah dianggap simbol kecelakaan, suatu masa dahulu. Selepas kedatangan agama Islam, Nabi Muhammad S.A.W mengangkat darjat wanita dan memuliakan kehadiran wanita.

Jom sambung 5 lagi kisah srikandi wanita Islam untuk diteladani.

5 LAGI SRIKANDI WANITA ISLAM UNTUK DITELADANI

#1-Kecerdasan seperti ‘AISYAH

Wanita ketika dirimu disapa ujian kemalasan, contohilah dari kecerdasan ‘Aisyah yang gigih memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk kebaikan ummah.  

‘Aisyah adalah puteri kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan satu-satunya wanita yang dinikahi oleh Nabi S.A.W ketika masih gadis. ‘Aisyah memasuki alam perkahwinan ketika usianya masih muda, fizikalnya adalah kanak-kanak dan jiwanya masih bersih dan suci. Lalu, keperibadian Rasulullah yang terpuji telah membentuk hati dan rohani beliau dengan ajaran Islam.

Saidatina ‘Aisyah membesar menjadi seorang manusia yang memiliki kecerdasan intelektual di tambah lagi dengan kelebihan daya ingatan yang kuat. Beliau mampu untuk ingat segala pertanyaan yang diajukan oleh umat Nabi Muhammad dan jawapan yang diberikan oleh Rasulullah kepada mereka.

Para perawi hadith menyebutkan bahawa ‘Aisyah adalah individu ketiga terbanyak selepas Abu Hurairah r.a dan Anas bin Malik r.a. yang meriwayatkan hadith dari Rasulullah S.A.W.

Kebanyakan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah adalah yang berkaitan dengan hukum-hakam tentang permasalahan wanita dan kehidupan berumahtangga.

 

#2-Keteguhan seperti SUMAYYAH

Wanita ketika imanmu di sapa ujian penderitaan jiwa, pelajarilah dari keteguhan hati Sumayyah. Sumayyah Binti Khayyat.

Perjalanan hidup Sumayyah bermula sebagai seorang hamba sahaya kepada Abu Hudzaifah bin Mughirah. Beliau kemudian dinikahi oleh Yasir, seorang pendatang yang kemudian menetap di Makkah. Perkahwinan mereka dikurniakan dengan dua orang putera yang bernama Ammar dan Ubaidullah.

Dakwah Islam yang diperjuangkan oleh Nabi S.A.W telah sampai ke keluarga mereka. Mereka menyahut dakwah tersebut dan mengumumkan keislaman mereka.

Sesudah berita pengumuman keislaman mereka, maka datanglah penyeksaan demi peyeksaan yang memaksa mereka keluar dari agama Islam. Bani Makhzum meletakkan Sumayyah ke sebuah tempat dan menaburinya dengan pasir yang sangat panas, kemudian diletakkan ke atas dadanya sebongkah batu yang berat.

Ucapan yang keluar dari mulut Sumayyah binti Khayyat adalah “Ahad… Ahad…”. Rasulullah S.A.W yang menyaksikan keluarga muslim tersebut diseksa dengan kejam, maka baginda menadah ke langit dan berseru yang bermaksud:

“Bersabarlah, wahai keluarga Yasir kerana sesungguhnya tempat kembali kalian adalah syurga”
Mendengar seruan Nabi itu, Sumayyah dengan berani melafazkan “Aku bersaksi bahawa engkau adalah Rasulullah dan aku bersaksi bahawa janjimu adalah benar”

Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam.

 

#3-Ketegasan seperti Siti Masyitah

Wanita bila imanmu teruji dengan keraguan dan syak wasangka, ingatlah pada ketegasan Siti Masyitah walaupun keluarganya menjadi tawanan.

Beliau adalah tukang sisir kepada puteri Fir’aun. Masyitah walaupun bekerja di istana Fir’aun, namun di dalam hati kecilnya tetap bertuhankan Allah yang Maha Berkuasa dan Dialah juga yang menjadikan segala makhluk termasuk Fir’aun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan.

Apabila diketahui oleh Fir’aun akan keimanan Masyitah dengan hanya menyembah Allah yang satu, maka Fir’aun mengugut untuk membunuh Masyitah dan keluarganya sekiranya beliau tidak mengubah pendirian.

Masyitah bertegas dan mengatakan, “Aku tetap dengan pendirianku bahawa Tuhan yang sebenarnya ialah Allah.”

Beliau bersama kedua anaknya yang masih kecil dan masih menyusu, terjun kedalam kuali besar berisi minyak yang mendidih tanpa terdengar jeritan yang keluar dari mulut mereka. Dan saat itu pun berlaku satu perkara aneh, tiba-tiba terciumlah wangi yang harum semerbak keluar dari kuali tersebut.

 

#4-Keberanian seperti NUSAIBAH

Wanita bila imanmu teruji dengan perasaan takut, contohilah keberanian Nusaibah yang turut sama berperang mempertahankan agama Islam

Nusaibah salah seorang dari dua wanita yang bergabung dengan 70 orang laki-laki Ansar yang hendak berbai’ah (berjanji setia) kepada Rasulullah dalam Bai’ah Aqabah Kedua. Beliau berbai’ah bersama suaminya, Zaid Bin Ashim dan dua orang puteranya.

Nusaibah berperang dengan penuh keberanian dan tidak menghiraukan diri sendiri. Saat itu, Nusaibah menderita luka-luka di seluruh tubuhnya dengan luka di leher yang paling parah.

Ketika Rasulullah melihat Nusaibah terluka, baginda bersabda, “Wahai Abdullah (putera Nusaibah), balutlah luka ibumu! Ya Allah, jadikanlah Nusaibah dan anaknya sebagai sahabatku di dalam syurga.”

Mendengar doa Rasulullah, Nusaibah tidak lagi menghiraukan luka di tubuhnya dan terus berperang mempertahankan agama Allah.

Kata-kata dari Nusaibah, “Aku telah meninggalkan urusan duniawi.”

 

#5-Ketakwaan seperti HAFSYAH

Wanita bila imanmu teruji oleh dunia, ingatlah ketakwaan Hafsyah binti Umar al-Khattab yang aktif dalam penyusunan semula al-Qur’an.

Sebelum Rasulullah mengambil Hafsyah sebagai isteri baginda, Hafsyah pernah berkahwin Khunais bin Hudzafah as-Sahami. Walaubagaimanapun, perkahwinan mereka tidak lama kerana Khunais telah syahid dalam peperangan menentang kaum musyrik Quraisy.

Umar al Khattab berasa sangat sedih melihat anaknya yang telah menjadi janda pada usia yang sangat muda. Rasulullah menenangkan hati sahabatnya itu seraya bersabda, “Hafsyah akan menikah dengan laki-laki yang lebih mulia daripada Uthman, sedangkan Uthman akan menikah dengan wanita yang lebih mulia daripada Hafsyah.”

Mendengar kata-kata dari Rasulullah, telah dapat menenangkan hati Umar. Pahamlah Umar kerana menurut dari kata-kata Nabi S.A.W  baginda sendiri akan mengawini Hafsyah. Menjadi mertua Nabi Muhammad S.A.W. merupakan kebahagiaan yang tiada bandingannya buat Umar al-Khattab

Jasa dan sumbangan terbesar Hafsyah adalah dalam pengumpulan dan penyusunan al-Qur’an. Beliau adalah isteri Nabi yang pertama kali menyimpan Al-Qur’an dalam bentuk tulisan pada kulit, tulang dan pelepah kurma.

Semasa pemerintahan Uthman bin Affan, Al-Qur’an yang disimpan oleh Hafsyah menjadi rujukan para sahabat yang ditugaskan untuk menyalin Al-Qur’an kembali ke dalam bentuk mushaf.

Alhamdulillah, sudah cukup bilangan sepuluh kisah srikandi wanita islam untuk diteladani. Wanita diciptakan dengan berbagai-bagai kelebihan dan diberi kekuatan dalaman untuk turut sama menjadi pejuang seperti seorang lelaki.

Allah S.W.T yang menghantar kekuatan kepada seorang wanita supaya dia boleh berdikari tanpa suami, dapat menanggung sakit melahirkan seorang anak, menguruskan rumahtangga dan pada masa yang sama juga mempunyai tanggungjawab pada kerjaya.

Didoakan, semoga sama-sama kita berubah dan memperbaiki diri menjadi wanita akhir zaman yang SOLEHAH.

Wallahu’alam. Biidznillah Ya Baari

Admin.

 

**TULISAN TANGAN MENCERMINKAN PERIBADI DI HADAPAN PASANGAN**

Insha Allah, hujung Mac ini akan ada pre-launch buku ‘Love, Tulisan Ini Milik Siapa? oleh Azura Hashim. Sebuah BUKU CINTA yang istimewa untuk pembaca mendapatkan cara untuk kita saling kenal peribadi kita dan pasangan dengan cara yang baik. 

 

Leave a Reply