Apakah kamu tidak ingin memiliki cita-cita untuk menjadi wanita akhir zaman yang SOLEHAH?

Menjadi kesetiaan kepada sang suami, ketaatan dikala suka dan duka, kesabaran berhadapan kelemahan dan kekurangannya, kemuliaan dalam menjaga maruah dan ketabahan apabila diuji dengan musibah.

Teristimewa sempena Hari Wanita Sedunia yang berlalu, dibawakan kisah-kisah srikandi Islam dimana kisah mereka adalah realiti yang pernah berlaku dan telah menjadi sejarah sebagai pedoman buat kita semua.

5 SRIKANDI WANITA UNTUK DITELADANI

#1-Kesetiaan seperti SITI KHADIJAH

Wanita ketika cintamu disapa ujian harta benda, lihat pada kesetiaan seorang Siti Khadijah. Srikandi Siti Khadijah binti Khuwailid adalah isteri pertama Nabi Muhammad S.A.W.

Beliau berasal dari kabilah Bani Asad suku kaum Quraisy. Keluarga yang mulia dan terhormat di kalangan masyarakat pada zaman jahiliyah. Mereka ketika itu menggelar Khadijah sebagai at-Thahirah. At-Thahirah bermaksud seorang wanita yang suci.

Cukup dikenali di kalangan ahli perniagaan dan bangsawan sebagai pedagang yang paling berjaya ketika itu dengan keuntungan yang besar.

Walau hidup dalam kekayaan, tidak menjadikannya lupa untuk tetap menghormati dan setia kepada suaminya.

Cintanya yang tulus sungguh menguatkan Rasulullah dalam menerima wahyu Allah yang sangat berat. Beliaulah manusia pertama yang beriman Islam.

Cerita mengenai kesetiaan Khadijah kepada suaminya, Muhammad S.A.W seperti dalam sabda Nabi yang bermaksud:

“Dia percaya padaku di saat semua orang ingkar, dan membenarkanku di kala orang-orang mendustakanku, menghiburku dengan hartanya ketika manusia telah mengharamkan harta untukku. Dan Allah telah mengurniaiku dari rahimnya beberapa orang anak”

Pengabdian dan pengorbanannya telah membuktikan dirinya sebagai Ummul Mu’minin yang tidak pernah dibagi cintanya oleh Rasulullah sehingga beliau wafat.

 

#2-Ketaatan seperti FATIMAH

Wanita ketika cintamu disapa ujian kemiskinan, renung pada ketaatan seorang Fatimah Az Zahra kepada suaminya Saidina Ali.
Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusahkan suaminya.

Kemiskinan tidak menghalang Fatimah Az Zahra untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan.

Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipin dirinya sendiri kelaparan.

Pernah suatu hari, Fatimah az Zahra telah membuat Ali terusik hati dengan kata-katanya. Menyedari kesalahannya, Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali.

Melihat air muka suaminya tidak juga berubah, maka Fatimah Az Zahra berlari-lari seperti anak kecil mengelilingi Ali. Tujuh puluh kali dia ‘tawaf’ sambil merayu-rayu mohon untuk dimaafkan. Melihat tingkah laku Fatimah itu, tersenyumlah Ali dan lantas memaafkan isterinya itu.

“Wahai Fatimah, kalaulah dikala engkau mati sedangkan suamimu Ali tidak memaafkanmu nescaya aku tidak akan menyolatkan jenazahmu” Rasulullah S.A.W memberi nasihat kepada puterinya itu saat perkara ini sampai ke telinga Nai S.A.W

Allah telah menetapkan mengenai kedudukan suami sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati di saat berhadapan dengan suami.

 

#3-Kesabaran seperti ASIYAH

Wanita ketika cintamu disapa ujian dengan keburukan suami, hadirkanlah kesabaran seperti Asiyah, isteri kepada raja Fir’aun.

Asiyah adalah satu-satunya wanita yang sangat dicintai oleh raja Fir’aun. Meski Fir’aun dikenali sebagai raja kejam yang akan menghukum sesiapa sahaja yang menentangnya, namun terhadap wanita ini Fir’aun bersikap lembut. Kepada Asiyah, Fir’aun rela memberikan apa sahaja sebagai bukti rasa cintanya, termasuk mengangkat Musa sebagai anak angkat yang sebenarnya kelak akan menjadi musuhnya sendiri.

Paksaan Fir’aun supaya disembah dan diakui sebagai Tuhan tidak hanya berlaku bagi semua rakyat, namun juga terhadap Asiyah, isterinya sendiri. Penentangan Asiyah terhadap suaminya telah mencabar kewibawaan Fir’aun.

Asiyah menjadi simbol sebagai seorang isteri yang penyabar.

Tubuh Asiyah dibaringkan di atas tanah di bawah terik sinar matahari. Kedua tangannya diikat kuat ke tiang-tiang yang dipacak ke tanah. Wajahnya dihadapkan terus ke arah sinaran matahari yang panas.

Penyeksaan demi penyeksaan kepada Asiyah. Tapi Asiyah tetap pada pendiriannya dan lebih memilih mempercayai aqidah yang dibawa Musa dan Harun.

Fir’aun menyampaikan titah kepada utusannya, “Bawalah sebuah batu yang besar. Jika Asiyah tetap beriman pada Tuhan Musa dan Harun, pukulkan batu besar itu ke kepadanya. Namun jika dia mengubah pendiriannya maka tetaplah dia menjadi isteriku”.

Maka ketika utusan tersebut sampai kepada Asiyah, isteri Fir’aun ini sedang mendongakkan kepalanya ke langit dan berdoa kepada Allah. Al Quran mengabadikan doa Asiyah tersebut dalam surah At-Tahrim ayat 11 yang bermaksud:

“Ya Rabbku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim”

Asiyah tetap istiqamah beriman kepada agama Islam hingga ajal menjemput beliau.

 

#4-Kemuliaan seperti SITI MARYAM

Wanita ketika cintamu terhadap Allah disapa ujian fitnah yang mencemarkan maruahmu, ingatilah kemuliaan yang diberikan Allah kepada Siti Maryam.

Ketika kecil Maryam diserahkan ke Baitul Maqdis untuk menjadi penjaga dan pemelihara rumah suci (Bait Allah) dan di bawah jagaan Nabi Zakaria. Maryam membesar menjadi gadis yang taat beribadah dan juga tahu adab pergaulan. Maryam selalu berdoa kepada Allah agar melindungi dirinya dari perkara-perkara yang buruk.

Pada suatu hari, Maryam didatangi oleh Malaikat Jibril yang menyerupai seorang manusia. “Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang utusan Tuhanmu, untuk memberimu seorang anak lelaki yang suci “.

“Bagaimana akan ada bagiku seorang anak lelaki, sedang tidak pernah seorang manusia pun menyentuhku dan aku bukan (pula) seorang penzina” jawab Maryam.

Kemudian Allah berfirman dengan Jibril sebagai perantaraan,

“Demikianlah Allah menciptakan apa yang dikehendakiNya. Apabila Allah berkehendak menetapkan sesuatu, maka Allah hanya cukup berkata kepadanya “Jadilah” lalu jadilah dia.”

(Surah Ali Imran: 42-47)

Siti Maryam adalah ibunda Nabi Isa a.s. Beliau tetap teguh mempertahankan kesuciannya sejak awal mengandung hingga melahirkan Nabi Isa a.s.

Atas izin Allah, bayi yang baru dilahirkan oleh Maryam berkata-kata bagi menjawab fitnah dan celaan dari masyarakat

“Sesungguhnya aku ini hamba Allah, dia memberiku al-Kitab (Injil) dan dia menjadikan aku seorang Nabi, dan dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup, dan berbakti kepada ibuku, dan dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka. Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku di bangkitkan hidup kembali”

(Surah Maryam: 30-33)

Dalam Surah Maryam diabadikan kisah perjuangan, keistimewaan dan kemuliaan Siti Maryam

 

#5-Ketabahan seperti SITI HAJAR.

Wanita ketika cintamu disapa dengan ujian ditinggalkan, belajarlah pada ketabahan Siti Hajar, isteri kepada Nabi Ibrahim a.s

Hati beliau tetap tegar dan tabah saat harus berpisah jauh dengan suaminya Nabi Ibrahim a.s. Hajar diuji ketika ditinggalkan berdua dengan puteranya, Ismail di padang pasir yang tandus.

Ketika Nabi Ibrahim a.s. mahu melangkah pulang meninggalkan isteri dan anaknya, Hajar memanggil berkali-kali nama suaminya. Tetapi Nabi Ibrahim mahu bergegas pergi kerana tidak mahu akan terlihat oleh Hajjar akan air matanya yang menitis keluar.

Siti Hajar mengejar juga suaminya dan berkata, “Apakah Allah yang memerintahkan kepadamu untuk melakukan ini?”. Nabi Ibrahim menjawab pendek, “Benar.”
Maka Siti Hajar berkata, “Kalau Allah yang memerintahkan demikian ini, nescaya Dia tidak akan mensia-siakan kami.”

Keadaan padang pasir yang kepanasan dan tiada hidupan, membuatkan mereka terdera dengan rasa kelaparan dan kehausan. Siti Hajar berlari-lari dari bukit Shafa ke bukit Marwah untuk mencari sedikit bekalan air untuk dirinya dan anak Ismail.

Allah lalu mendengar doa Hajar. Setelah tujuh kali berulang alik antara dua bukit, beliau terlihat mata air yang keluar berhampiran dengan kedudukan puteranya, Ismail. Melihat hal itu, Hajar segera menuju ke mata air tersebut dan berkata, “Zum, zum!” yang bermaksud berkumpullah. Air yang penuh keberkatan itu kelak dipanggil air zam-zam. Subhanallah..Maha Suci Allah

 

Terima Kasih kepada pembaca yang sudi menjengah ke blog kami. Semoga sedikit sebanyak anda akan mendapat inspirasi yang hebat dan dapat dijadikan penguat bagi anda dalam melayari bahtera perkahwinan. 

Ikuti penulisan seterusnya untuk ketahui siapakah lima srikandi wanita yang lain untuk diteladani kisah kehidupan mereka.

Wallahua’lam. Biidznillah Ya Baari.

Admin

 

“Saya kenal orang yang tersayang iaitu suami saya setelah belajar tulisan tangan. Rupa-rupanya karakter suami saya berlawanan dengan karakter saya” -Dr Nurhidayah Roslan 
Berminat untuk mengenali karakter dan personaliti anda dan pasangan melalui tulisan tangan ?
KLIK SINI untuk kami kongsikan rahsia di sebalik tulisan tangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *