PESAN NABI, “Jangan Marah”

Imam Bukhari meriwayatkan, Abu Hurairah menceritakan bahawa seorang lelaki datang meminta nasihat daripada Rasulullah S.A.W. Baginda menjawab “ Jangan marah”. Lelaki tersebut mengulangi soalannya. Rasulullah S.A.W menjawab “Jangan marah”. Soalan diulang lagi beberapa kali, lantas baginda mengulang juga jawapan yang sama.

Dalam hadis yang lain, Riwayat Imam Tarmizi:

Lelaki itu berkata “Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku dan janganlah terlalu banyak, moga aku senang memahaminya”. Lantas baginda menjawab “Jangan marah”.

Kenapakah Nabi S.A.W mengulangi jawapan yang sama kepada pemuda tersebut?

Ini kerana marah adalah salah satu bentuk emosi yang semulajadi. Marah boleh diceritakan kepada dua iaitu marah yang terpuji dan marah yang dikeji.

Kebiasaannya, marah kita lebih cenderung kepada sifat negatif yang memberi kesan kepada pergerakan yang tidak terkawal dan tindakan ganas terhadap orang tersayang. Marah seperti ini yang tergolong dalam marah yang dikeji.

Teruskan pembacaan anda untuk tahu siapakah tiga individu tersayang yang akan cepat terkesan dengan sikap amarah anda.

KESAN-KESAN NEGATIF APABILA MARAH

#1-Kerana Marah, Diri Menjadi Sakit

Individu pertama yang akan terkesan adalah diri anda sendiri.

Marah memberi kesan terus pada kesihatan hati dan jiwa anda. Sesuai dengan bait lagu ini “Sakitnya tuh di sini, di dalam hatiku”. Rasa sakit dan marah bekerjasama, maka secara tidak sedar karakter kita akan berubah sekelip mata.

Bermula dari hati akan pergi membawa ke lidah. Kata-kata yang dikeluarkan ada yang kasar dan berbentuk makian. Tidak semena-mena, suara yang keluar juga menjadi kuat dan menarik perhatian orang sekeliling.

Ekspresi muka apabila sudah marah, hilang semua kemanisan. Muka menjadi merah, badan tiba-tiba rasa panas, tangan dan kaki pula jadi ringan untuk memukul.

Rasa marah tidak boleh diberhentikan tiba-tiba seperti ada suis buka tutup. Tapi ada cara kita dapat mengawalnya sendiri dengan cara yang betul.

Tenang….tarik nafas dalam-dalam. Istighfar…

 

#2-Kerana Marah, Rumahtangga Goyah

Individu kedua adalah pasangan anda, orang yang anda pilih untuk bersama dalam kehidupan rumahtangga.

Rumahtangga yang goyah kerana banyaknya pertengkaran.

Pertengkaran bermula bila terbit rasa tidak puas hati antara satu sama lain dan membuka laluan untuk emosi marah ini menjengah.

  • Marah yang sederhana

Berlaku pertengkaran kecil dan tidak berlarutan terlalu lama. Kebiasaannya, rasa marah ini datang dari seorang isteri. Marah mereka dalam bentuk bebelan dan pesanan kepada suami.

Rasa marah yang ada sedikit hilang setelah dapat menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap pasangan. Dalam masa ini pasangan yang dimarahi harus menerima dan mendengar sahaja.

  • Marah yang berbahaya

Rasa marah pada peringkat ini yang membimbangkan. Bimbang rasa marah ini akan mendorong perlakuan yang boleh menyakiti pasangan khususnya.

Selalunya dari sikap pasangan yang panas baran. Situasi yang melibatkan perkara yang mereka tidak suka lihat, dengar dan katakan mereka akan cepat melenting. Situasi yang lain juga pasangan panas baran ini akan mudah marah apabila cemburu, ego tercabar dan prasangka buruk.

Sebelah pihak yang lagi satu akan menderita mempunyai pasangan panas baran. Tidak dapat lari genggaman mereka, pihak ini akan menggunakan konsep bertahan. Sehingga sampai satu masa karakter pihak ini berubah, mereka terpaksa melawan bagi melindungi diri. Kesannya wujud pertengkaran lebih besar.

Lalu, bagaimana keharmonian hubungan mahu mekar? Lebih banyak pertengkaran dari perbincangan antara satu sama lain.

 

#3-Kerana Marah, Anak-anak Menjadi Mangsa

Anak-anak menjadi mangsa tempat kita melepaskan rasa marah yang belum habis kepada pasangan.

Secara tidak sedar, rasa marah turut mencetuskan tindakan reflek dari kita kepada anak. Tengah marah-marah, tangan pula mencubit, menampar dan memukul anak. Selepas beberapa ketika, baru kita tersedar dan berhenti. Allah…istighfar banyak-banyak sahabat..

Termanggu-manggu seketika anak apabila dimarah. Usia anak masih muda, jiwa mereka belum dapat memahami sepenuhnya kehendak ibubapa.

Adakah kita mahu anak itu nanti membesar menjadi seorang pemarah, pembengis dan agresif?

Kita pasti tidak mahu mereka membesar dengan karakter tersebut. Kita berharap mereka tidak akan ikut perkembangan yang tidak baik. Kita mahukan mereka membesar dengan pemikiran yang sihat.

Sekali sekala anak-anak perlu dimarah dan ditegur. Ibubapa harus juga menunjukkan ketegasan terhadap anak perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh. Gunakan cara penyampaian yang betul. Tidak menjerit apatah lagi menengking dengan bahasa yang kurang sopan terhadap anak-anak.

Menarik untuk dibaca juga Perkara yang Membuatkan Saya Berhenti Menjerit Dan Menengking Anak-Anak Saya

 

Kita sudah tahu betapa kritikalnya keadaan bila kita marah. Kerana marah, manusia akan hilang pertimbangan diri. Merawat emosi marah ini adalah lebih baik dari cubaan menghapuskannya. Kerana sebagai hamba Allah, kita tidak terlepas dari ujian dan cabaran yang hadir untuk menguji nilai kesabaran dalam diri kita.

Ayuh! sama-sama kita memperbaiki diri dan mengurangkan sifat marah yang tentunya lebih banyak kemudaratan dari kebaikan.

Wallahua’lam. Biidznillah Ya Baari’

Admin.

 

Berminat untuk mengenali karakter dan personaliti anda dan pasangan melalui tulisan tangan?
Jom Wassap admin di 016-9237881 untuk butiran lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *