Perkahwinan yang barakah didahului dengan niat yang ikhlas dan tujuan perkahwinan yang betul. Niat berkahwin untuk mendapatkan harta dan kenikmatan dari pasangan adalah niat yang tidak diredhai Allah.

Dalam agama Islam, perkahwinan itu besar tujuannya. Bukan sekadar penyatuan dua hati yang saling mencintai sahaja. Lebih daripada itu, ada beberapa tujuan yang lebih baik melakukan pernikahan daripada hidup membujang.

 

TUJUAN UTAMA PERKAHWINAN MENURUT ISLAM

#1-Berkahwin untuk Ibadah

Perkahwinan itu menyempurnakan sebahagian daripada tuntutan agama. Jadi, niatkanlah perkahwinan untuk menjalankan ibadah.

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Benarkah kalian telah berkata begini dan begitu, sungguh demi Allah, sesungguhnya akulah yang paling takut dan taqwa di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku juga tidur dan aku juga mengahwini perempuan. Maka barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka ia tidak termasuk golonganku.”

Berkahwin bukan kerana ikutan kawan-kawan, apalagi disebabkan masalah kewangan yang mendesak. Jangan cemari ibadah perkahwinan ini dengan niat yang salah dan melencong dari syariat Islam.

 

#2-Berkahwin untuk Memenuhi Fitrah Kemanusiaan

Islam sangat menganjurkan bagi mereka yang telah mampu untuk berkahwin, supaya segera bernikah. Nikah memenuhi fitrah kemanusiaan.

Jika naluri dalam diri tidak dipenuhi melalui jalan yang benar (iaitu perkahwinan), dikhuatiri akan membawa seseorang itu ke jalan yang sesat. Kecenderungan melakukan perbuatan yang Allah larang seperti berzina, merogol dan meliwat.

Dalam sebuah hadith sahih yang telah diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa’i, Darimi, Ibnu Jarud, dan Baihaqi, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Wahai para pemuda ! Barang siapa diantara kalian berkemampuan untuk nikah, maka nikahlah, karena nikah itu lebih menundukan pandangan, dan lebih membentengi farji (kemaluan). Dan barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia puasa (shaum), karena shaum itu dapat membentengi dirinya.”

 

#3-Berkahwin untuk Memelihara Martabat Manusia

Seperti yang disampaikan dalam hadith di atas,berkahwin membantu menghindarkan seseorang dari perbuatan keji dan kotor yang dapat menurunkan atau merendahkan martabat dirinya.

Ikatan perkahwinan sebagai benteng kehormatan seseorang seterusnya memelihara martabat dan maruah dirinya di hadapan Allah S.W.T dan makhluk yang lain.

 

#4-Berkahwin Menjemput Ketenteraman Hidup

Sesiapa sahaja boleh jatuh cinta dan jatuh sayang kepada seseorang.

Hanya apabila cinta itu berlebihan membuatkan seseorang menjadi gila, stress, cemburu, kecewa ditinggalkan dan sakit hati ditolak. Lalu bagaimana mahu mendapatkan ketenteraman hidup?

Sebab itu kita disuruh bersolat untuk memohon petunjuk dari Allah agar diberikan penyelesaian dan ketenteraman jiwa. Jika sudah yakin dengan pilihan hati, persediaan juga sudah mencukupi maka jangan tangguh lagi untuk berkahwin.

 

#5-Berkahwin untuk Mendapatkan Keturunan

Dalam al-Quran, Allah S.W.T telah berfirman. Maksudnya:

“Dan Allah menjadikan bagimu pasangan (suami atau isteri) dari jenis kamu sendiri  dan menjadikan anak dan cucu bagimu dari pasanganmu, serta memberimu rezeki dari yang baik. Mengapa mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat Allah?”

Surah an-Nahl: 72

Bermula dari memilih pasangan yang soleh dan solehah dan diharapkan zuriat yang lahir juga beriman, berakhlak dan ihsan sesama makhluk. Betapa pentingnya membentuk generasi yang beriman dan berkualiti supaya syariat Islam dapat ditegakkan.

 

#6-Berkahwin untuk Hubungan Silaturrahim Kekeluargaan

Tidak mungkin selepas berkahwin, kita hanya berhadapan dengan pasangan kita seorang. Pasti kita akan berkenalan dengan keluarganya, saudaranya sehingga ke sepupu-sepupu yang masih memiliki hubungan darah dengan pasangan kita.

Jadi, sekadar ingatan, bernikah bukan hanya menyatukan dua karakter pasangan yang berbeza tetapi juga menyatukan karakter, budaya, adat dan pemikiran kedua keluarga.

Sumber: Tujuan Utama Menikah Dalam Islam

 

Binalah sebuah perkahwinan yang berlandaskan al-Quran dan syariat Islam. Tujuan perkahwinan yang dipelihara pada awalnya akan membawa kepada pembentukan keluarga sakinah, mawaddah, warrahmah. Insha Allah, seterusnya dari situ akan membuka pula pintu-pintu rahmat yang lebih besar lagi.

Wallahua’lam.Biidznillh Ya Baari’

Admin.

 

Sebarkan Kebahagiaan…

AKAN DATANG !!

LOVE TILL JANNAH

**Rahsia Memahami Pasangan Dengan Analisa Tulisan Tangan**

Jom Pre-Order Buku Ini Sekarang! Klik LOVE
Perlukan bantuan? Hubungi admin di 016-9237881

Leave a Reply