Saban hari, kalau tidak terjadinya masalah atau konflik-konflik kecil yang berlaku antara suami isteri seakan tidak lengkap kehidupan seharian.

Hakikatnya masalah itu mengajar untuk lebih matang dalam mengendalikan rumah tangga, masalah itu kadang-kadang membawa pasangan mengenal peribadi pasangannya dengan lebih dalam lagi. Masalah juga membawa kita semula sebagai hamba abdi kepada Allah untuk kembali mengingatinya dan memohon pertolongan dariNya.

Masalah dan konflik yang tidak diurus dengan baik akan menyebabkan pasangan suami isteri stress dan hubungan jadi renggang. Jom lihat beberapa contoh konflik yang selalu terjadi dalam kehidupan dan menjadi isu-isu yang berbangkit antara suami isteri pada masa-masa tertentu.

 

CONTOH CONTOH KONFLIK DALAM KEHIDUPAN YANG SELALU TERJADI

#1-Berebut Siaran Televisyen Kegemaran

Contoh paling selalu terjadi ketika menonton televisyen dan menentukan saluran yang akan ditonton. Dalam situasi di mana suami nak meyaksikan pertandingan bola sementara si isteri mahu menonton drama TV3 kesukaannya.

Pilihan yang ada mungkin boleh berganti-ganti saluran tersebut ketika iklan ditayangkan. Jika tiada toleransi untuk saling bergantian, sudah pasti ada yang bermasam muka dan tidak bertegur sapa.

Atau pilihan lain boleh tetapkan 30 minit pertama untuk rancangan suami dan 30 minit selebihnya untuk drama si isteri. Sebelum siaran kegemaran ditayangkan, bincang dahulu baik-baik.

 

#2-Menguruskan Anak & Kerja Rumah

Tugas menguruskan anak dan kerja rumah adalah tugasan bersama suami dan isteri. Rasulullah S.A.W. juga turut membantu isterinya di rumah.

Al-Aswad berkata: Aku bertanya kepada ‘Aisyah r.a: Apa yang Rasulullah S.A.W. lakukan dirumahnya? Beliau menjawab: Baginda membantu berkhidmat menguruskan urusan keluarga. Apabila masuknya waktu solat, baginda keluar mendirikan solat 

(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, Hadis no: 638)

Kos sara hidup yang tinggi memerlukan kedua-dua suami dan isteri bekerja bagi kestabilan pendapatan keluarga. Jadi, setiap seorang ambil peranan dan bahagikan tugas. Contohnya, isteri memasak, suami akan basuh baju.

 

#3-Memilih Tempat Makan

“Suami saya suka makan di kedai mamak, sementara saya suka lagi makan di restoran ala kampung”

Rata-rata alasan yang diberikan oleh lelaki sebab mamak menjadi pilihan kerana makanan sajian mereka universal. Ada roti canai, ada telur separuh masak, ada nasi lemak, lauk pauk tengah hari kemudian malam ada masakan bergoreng atau sup panas. Pendek kata, kedai mamak macam-macam ada. Mereka boleh lepak lama dan santai-santai.

Kalau dah berumah tangga, lelaki tidak bolehlah berlagak seperti orang bujang. Harus ada rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap keluarganya. Bila mana keluar bersama keluarga, carilah tempat makan yang sesuai untuk keluarga. Tidak boleh pentingkan diri sendiri dan kena tanya pendapat antara satu sama lain. Mungkin waktu makan inilah anda suami isteri lebih selesa berbincang berdua dan juga masa untuk bermesra dengan anak-anak.

Menarik! 11 Alasan Mengapa Kedai Mamak Menjadi Pilihan Lelaki

 

#4-Giliran Balik Kampung

Setiap kali menjelang hari raya, antara isu hangat yang dibincangkan khususnya bagi mereka yang sudah berumah tangga ialah giliran berhari raya.

Kebanyakan pasangan, perkara tersebut tidak menimbulkan masalah kerana masing-masing sudah memahami dan mematuhi giliran yang dibuat. Bagaimanapun, masih ada yang suami isteri yang bergaduh setiap kali isu balik kampung ibu bapa sendiri atau mertua ditimbulkan khususnya menjelang hari raya.

Bagi menjaga hati keluarga kedua-dua belah pihak, rancang masa bercuti anda sebaiknya. Jika 3 hari di rumah mertua, tiga hari juga di rumah ibu bapa sendiri dan begitulah sebaliknya.

 

#5-‘Man Cave’ untuk Suami

Suami perlukan ruang peribadi untuk si isterinya hormati. Selalu dengar istilah ‘Man Cave’ dari lelaki. Lelaki memang secara psikologi perlukan ‘gua’ peribadi mereka sendiri walaupun dah berkahwin atau beranak pinak sekalipun.

Kebiasaannya ruang itu untuk mereka bertenang, menyusun strategi baru, melarikan diri daripada tekanan persekitaran dan emosi buat seketika. Sebab itu, berilah ruang kepada suami untuk dia buat apa sahaja hobi dia dan begitu juga suami bagilah ruang untuk isteri ber ‘me time’ sekali sekala.

Galakkan suami mempunyai hobi yang sihat seperti memancing, berkonvoi kenderaan, bersukan di gimnasium, futsal dan hobi-hobi lain supaya masa lapangnya tidak hanya dengan gajet.

 

#6-‘Me Time’ untuk Isteri

Izinkanlah isteri mendapatkan ‘Me Time’nya sendiri dengan rakan-rakan, adik beradik, saudara mara asalkan tidak melanggar batasan.

Isteri perlukan rehat sebentar dari kerja-kerja rumah. Beri mereka peluang untuk bersosial di luar. Bersosial dalam kawalan. Bayangkan hari-hari melakukan kerja yang sama berulang kali tambah kerja tersebut dilakukan di rumah, tidak kemana-mana.

Mesti isteri seronok kalau dapat keluar bersama rakan-rakannya dan buat aktiviti yang boleh jadi terapi bagi diri mereka. Boleh jadi window shopping, rawatan spa dan makan-makan bersama rakan perempuan mereka untuk beberapa jam sudah cukup sebagai terapi buat diri mereka.

 

Berhati-hati dengan konflik dalam rumah tangga. Jalan selamat sebelum konflik menjadi semakin besar adalah dengan berbincang dan berunding. Fokus dalam perbincangan adalah bertindak adil, saling tidak merugikan kedua belah pihak dan mencari jalan penyelesaian tanpa adanya paksaan dan kekerasan.

Dua faktor yang membantu mempercepatkan proses perbincangan adalah kesefahaman akan keperluan masing-masing dan bersedia untuk mengalah. Sangat dihargai dalam perbincangan jika kesediaan sebelah pihak untuk mengalah dan memberi peluang kepada pasangannya terlebih dahulu untuk mendapat keistimewaan.

Hubungan suami isteri yang berjaya memerlukan kedua-dua belah pihak sentiasa bertolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain.

Wallahualam. Biidznillah Ya Baari’

Admin.

 

Sebarkan Kebahagiaan…

AKAN DATANG !!

LOVE TILL JANNAH

**Rahsia Memahami Pasangan Dengan Analisa Tulisan Tangan**

Jom Pre-Order Buku Ini Sekarang! Klik LOVE
Perlukan bantuan? Hubungi admin di 016-9237881

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *