Kita ada tanggungjawab pada diri sendiri. Dan kita juga ada tanggungjawab terhadap sesama manusia untuk saling mengingatkan dalam kebaikan dan keselamatan.

I’M IN CHARGE, I MUST BE RESPONSIBLE!!

#1-Saya ada Inisiatif

Individu yang ada inisiatif, mempunyai keupayaan untuk memutuskan apa yang perlu dilakukan seterusnya tanpa perlu orang lain untuk memberitahu dia perkara yang sepatutnya dilakukan.

“Bangau oh bangau kenapa engkau kurus?” “Macam mana aku tak kurus ikan tak mahu timbul.”

Adakah cik Bangau tak mahu langsung berusaha untuk mendapatkan sumber makanan daripada tempat lain. Kalau cik Bangau ada inisiatif, dia tidak akan menyerah membiarkan diri dalam keadaan kelaparan. Bangau boleh terbang, boleh cuba mencari makanan di tempat lain.

Tapi kalau cik Bangau malas berusaha, maka jalan pintasnya adalah duduk diam dan menunggu orang lain untuk memberikannya makan.

Simbolik cerita dari bangau yang malas adalah sikap kita yang meletakkan kesalahan pada orang lain kerana diri sendiri tidak mampu menghadapi sesuatu perkara. Kesalahan seterusnya berpanjangan ke atas ikan yang tak timbul sebab rumput panjang sehinggalah berlarutan kepada punca masalah iaitu ular yang nak makan katak. Akhirnya kesemua menjadi rugi kecuali si ular sahaja yang untung sebab dia boleh makan si katak.

Inisiatif kita kepada perjanjian dan perintah Allah:

“Dan ingatlah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepadamu serta ingatlah perjanjianNya yang telah diikatNya denganmu, ketika kamu berkata: “Kami dengar dan kami taat (akan perintah-perintah Allah dan Rasulnya)” Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada”

(Surah al-Maa’idah: 7)

 

#2-Saya Pilih Tindakan, Sikap dan Emosi

Individu yang bertanggungjawab akan pilih tindakan, sikap dan emosi diri sendiri. Saya bertanggungjawab memandu kehidupan saya kearah yang lebih baik.

Allah mengikut sangkaan hamba-Nya. Jika fikiran kita baik, maka yang baik akan datang dan jika fikiran kita fikir yang sebaliknya, maka akan menarik kita kembali kepada kisah tersebut.

Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah S.A.W bersabda: Allah berfirman:

“Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingat-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam suatu kelompok, Aku mengingatinya dalam kelompok yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekati-Ku satu jengkal, maka Aku mendekatinya satu hasta. Jika dia mendekati-Ku satu hasta, maka Aku mendekatinya satu lengan. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari.”

(Hadis Sahih al-Bukhari)

Allah akan bersama dengan sangkaan hambaNya jika hadir bersama dengan hati yang ikhlas, ada usaha, kemudian tawakkal dan redha terhadap perancangan Allah S.W.T.

 

#3-Saya Tidak Salahkan Orang Lain atas Tindakan yang Dilakukan

Ibu: “Macammana boleh jatuh ni?”

Anak: “Aiman main lari-lari, lepastu tersepak batu ni”

Ibu: “Oooo..jahatnya batu ni”

(Ibu ambil batu dan campak batu jauh-jauh)

Taktik untuk ibu diamkan anaknya yang menangis dengan jadikan kesalahan berpunca dari objek sekeliling. Biasa terjadi, kan? Nampak seperti perkara kecil sahaja tapi bila menjadi kebiasaan, impaknya pada anak yang sedang membesar. Bila mereka besar, mereka akan persalahkan orang lain atas tindakan yang mereka buat. Itu tanda orang yang mahu lari dari tanggungjawab.

Sepatutnya, dalam diri kita dididik rasa tanggungjawab sejak dari kecil lagi. Tanggungjawab pada diri, tindakan yang dilakukan dan pilihan yang dibuat. Berhenti menyalahkan orang lain apatah lagi objek yang sedia maklum bukan termasuk dalam benda hidup.

 

#4-Saya Perlu Melakukan Perkara Betul

Walau Tiada Siapa yang Melihat

Rasa tanggungjawab membawa diri kita dalam kesedaran bahawa sangat perlu untuk kita lakukan perkara betul walau tiada siapa yang melihat. Bila dengan sendirinya ada rasa tanggungjawab, kita tidak akan sibuk-sibuk mengejar penghargaan dan pujian orang sekeliling. Sedang kita tahu, penghargaan manusia hanyalah bersifat sementara.

Dalam menjalankan tanggungjawab, kita mengharap kebaikan dan redha Allah. Jika kita telah memberikan yang terbaik, tidak perlu ambil peduli lagi akan kritikan manusia kerana pasti akan ada yang menyokong kita dan sebaliknya.

Kebaikan yang dihulur tidak semestinya akan menerima kebaikan juga. Boleh jadi kita menghulur kebaikan tetapi keburukan yang kita dapat.

 

Walau Perkara itu Kecil

Setiap kerja kebajikan yang besar kita lakukan, permulaannya pasti dimulakan dengan kerja kebajikan yang kecil-kecil. Bagaimana mahu membentuk rasa tanggungjawab dalam diri jika tidak bermula dengan usaha-usaha yang kecil.

Walau perkara kebajikan yang kita lakukan kelihatan kecil seakan tidak memberi impak yang besar kepada orang lain, kebajikan tetap dikira sebagai kebaikan. Allah S.W.T menggalakkan kita untuk berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menganggap kepada-Nya. Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan. Di mana sahaja kamu berada pasti allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya allah maha berkuasa atas segala sesuatu”

(Surah al-Baqarah: 148)

 

Rahsia Tulisan Tangan: Individu yang Memiliki Keinginan untuk Bertanggungjawab

Berdasarkan kajian grafologi, keinginan untuk bertanggungjawab ditunjukkan pada permulaan perkataan yang mempunyai loop besar. Biasanya terdapat pada huruf besar seperti W, M dan S. Contoh tulisan seperti dibawah:

Semakin besar loop tersebut, semakin besar keinginan seseorang untuk memikul tanggungjawab. Individu ini bercita-cita untuk mengawal situasi dan menerima tanggungjawab yang diberikan dengan senang hati.

Keinginan adalah berdasarkan perasaan dan kepercayaan bahawa “Aku mampu bertanggungjawab”. Perasaan dan percaya sahaja belum cukup kukuh untuk menjadikan seseorang itu individu yang bertanggungjawab. Haruslah juga disertai dengan tindakan yang betul dan laksanakan tanggungjawab dengan amanah. Jangan hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Wallahu’alam. Biidznillah Ya Baari’.

Admin.

 

Tanggungjawab itu banyak bahagiannya, apatah lagi setelah berkahwin semakin besar tanggungjawab untuk seseorang pikul.

Mari mengenal karakter pasangan yang tidak terlihat melalui tingkahlaku dan tuturkata dengan mengaplikasikan ilmu analisa tulisan tangan. Insha Allah

Info lanjut, boleh layari: http://graphology.com.my/buku-love-till-jannah/
Perlukan bantuan? Hubungi admin di 016-2223444

Leave a Reply